Kenapa Anak Malas Solat?

 

Anak perempuan saya umur 13 tahun dan sangat ‘liat’ nak solat.

Satu hari, terlintas di hati nak pantau anak saya solat. Boleh dia hampar sejadah atas lantai je. Tapi tak solat. Bila saya tanya dah solat ke belum, katanya ‘dah’. Saya rasa sangat marah. Dah la tak solat, menipu pulak.

Disebabkan perasaan marah, saya pukul anak saya. Masyaa Allah, saya tahu saya dah buat silap. Saya menangis dan saya mohon ampun pada Allah.

Saya dah pukul anak saya, saya dah bebel-bebel, saya dah bagi warning. Tapi anak saya tetap tak berubah. Susah dan liat nak solat.

Ada tak yang alami situasi macam ni jugak? Anak anda malas solat? Atau sudah pandai menipu bila ditanyakan hal solat?

Macam mana nak didik anak solat tanpa disuruh, tanpa dimarah?

 

1. DIDIK SOLAT SEJAK BAYI

Jika anda mempunyai anak kecil, setiap kali solat, bawa sekali anak dalam solat dengan cara mendukung anak (rujuk cara dukung anak dalam solat). Ini boleh dilakukan oleh ibu ataupun bapa. Jika di lakukan setiap kali di awal waktu solat, anak kecil itu akan sentiasa bersedia setiap kali masuk waktu solat.

Sekiranya anak sudah sedikit besar dan tidak mampu untuk didukung lagi, letakkan anak di sebelah kita bersolat seperti di dalam ‘playpen’ supaya anak dapat melihat kita bersolat. Kebanyakan situasi, anak-anak akan tenang apabila berada bersama kita ketika solat. In Shaa Allah, dipermudahkan.

Tidak perlu tunggu hingga 10 tahun, baru kita terhegeh-hegeh mahu mengajarkan dan menunjukka cara mendidik anak solat. Mulakan dari usia bayi lagi.

 

2. AJARKAN ANAK WUDHU’

Jangan lepas tangan, biarkan tanggunjawab pada guru di sekolah tunjukkan cara wudhu’. Semak juga cara bagaimana anak ambil wudu’.

Ajarkan anak mengambil wudhu’ dengan betul. Tampalkan cara mengambil wudhu’ bergambar di setiap bilik air supaya mudah anak mengikutinya. Setiap kali selepas azan, terus suruh anak anak ambil wudhu’.  Cara mendidik anak solat bermula dengan wudhu’. Bila wudhu’ sempurna, barulah solat juga sempurna.

 

3. SOLAT BERSAMA ATAU BERJEMAAH

Cuba untuk solat bersama sama pada setiap waktu, bangun awal untuk sama sama solat Subuh sebelum keluar bekerja atau menghantar anak ke tadika atau sekolah. Solat berjemaah dan kenalkan aturan saf. Jika ayah bekerja, bolehlah solat bersebelahan dengan ibu. Jika tidak ke surau atau masjid, apabila hujung minggu, ambil peluang untuk berjemaah bersama-sama.

Semasa solat bersama anak dan kuatkan sedikit bacaan dalam solat supaya anak dapat mendengar dan mengikut. Pada masa yang sama anak akan menghafal bacaan dalam solat dan secara tak langsung menghafal surah-surah lazim.

4. BACAKAN DOA UNTUK ANAK

Selepas berwirid, bacakan doa dalam Bahasa Melayu yang ‘special’ untuk setiap anak, biar mereka mendengar doa itu. Selitkan juga doa syukur kerana mendapat anak yang baik seperti mereka (sebutkan nama anak sekali dalam doa) yang rajin solat, rajin belajar, rajin menolong ibu dan ayah.

Isikan pengharapan kita di dalam doa itu kepdaa Allah dan biarkan anak anak mendengar doa tersebut. Cuba lihat reaksi mereka. Cara ini mampu melembutkan hati anak anak.

 

5. BERSALAMAN SELEPAS SOLAT dan BERI MEREKA PUJIAN

Bersalaman selepas solat di iringi dengan ciuman dan pelukan kasih sayang. Cara ini dapat mengalirkan ikatan yang kuat antara ibubapa dan anak. Peluk rapat-rapat ahli keluarga kita.

Walaupun anak kecil tidak tahu apa-apa, mereka akan rasakan aura kegembiraan itu jika bersalaman satu keluarga. Bukan sahaja satu cara mendidik anak solat, bersalaman dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Puji mereka setiap kali selepas solat. Puji sikap mereka yang tekun, solat dengan baik, tidak joget-joget dan bermain-main. Beritahu mereka yang kita bangga dan bersyukur mendapat anak seperti mereka.

 

6. TEGUR KESILAPAN SOLAT ANAK

Setiap kali solat, jika tepandang silap anak, tegur mereka selepas sesi berdoa. Tetapi jangan lupa untuk mulakan dengan pujian setiap kali ingin tegur kesilapan anak. Beginilah cara mendidik anak solat yang anak suka. Ibu bapa tidak marah, malah beri pujian pula.

 

7. BELIKAN TELEKUNG DAN SONGKOK/KOPIAH YANG ANAK SUKA

Ingat lagi zaman dulu-dulu, ramai ibu sanggup mengait buah kopiah anak sendiri? Siap ada nama lagi. Itu adalah salah satu cara agar anak rajin pakai kopiah dan mengerjakan sembahyang. Nampak jelas kesungguhan orang-orang lama dalam usaha mengajarkan cara mendidik anak solat, sebelum mereka tahu apa-apa tentang solat.

Sekiranya ada anak perempuan, ajak dia ‘shopping’ sama-sama dan belikan telekung yang dia berkenan. Semoga usaha mendidik anak solat akan jadi lebih mudah jika anak ada pakaian kegemaran mereka sendiri.

 

8. AMALKAN DOA SURAH IBRAHIM AYAT 40

Dalam usaha dan cara mendidik anak solat, amalkan doa dari Surah Ibrahim ayat 40 setiap kali selepas solat dan sebelum tidur iaitu dihembuskan di umbun2 mereka. Bacakan supaya anak dapat mendengar sama dan ajak anak membaca doa itu bersama, lama kelamaan mereka dapat menghafal doa itu.

(40) رَبِّ اجْعَلْنِى مُقِيمَ الصَّلوةِ وَمِن ذُرِّيَتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ
Maksudnya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

 

Didiklah anak tentang solat bermula dengan solat 5 waktu , dan kemudiannya barulah solat-solat sunat berjemaah seperti solat hari raya dan sebagainya. Jangan nanti anak anak hanya tahu solat Hari Raya sahaja, tetapi tidak tahu solat 5 waktu dan solat Jumaat. Terlalu banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk mendekatkan anak dengan solat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *